Travelog Kembara Musafir Duniawi
Kita tidak dicipta dengan sia-sia.
Monday, November 19, 2012
Sayang.
Fitrah manusia dicipta dengan pelbagai perasaan. Tidak dinafikan salah satu perasaan yang dicipta untuk kita adalah perasaan ingin menyayangi dan disayangi. Perasaan ini wujud tak kira agama, bangsa dan warna kulit. Pasti tidak lari dari memiliki perasaan ini. Dan kerana itu, mari kita fikirkan sejenak kerana apa prasaan ini wujud, diciptakan, dan apakah cerita disebalik sejarah-sejarah perihal perasaan ini yang mana kita boleh ambil untuk dijadikan contoh yang baik dalam hidup kita. Sama ada contoh di zaman dahulu mahupun zaman kini.
Bilamana kita melihat seorang ibu melahirkan seorang anak, setelah bersusah payah dalam kesusahan demi kesusahan, mengandungkan anak tersebut selama lebih kurang sembilan bulan sepuluh hari, bertarung nyawa melahirkan anak tersebut tanpa mengira komplikasi yang akan berlaku, sebaik sahaja keluarnya anak tersebut di dunia ini, apakah yang akan dilakukan si ibu tadi? tidak mengenal erti kelelahan dan keletihan, sebaik mendengar dan mendakap si anak kecil comel tadi, hilang, luluh segala kesusahan dan kepenatan yang dialami si ibu tadi. Bukankah begitu?
Inilah dia 'kuasa' keajaiban kasih sayang yang diciptakan Allah untuk manusia. Bila mana kasih sayang ini diterjemahkan dalam bentuk perbuatan seorang ibu terhadap seorang anak, maka tiada suatu nilai pun yang dapat menandingi nilai yang ada pada kasih sayang ini. Hebat bukan? Bahkan makhluk-makhluk Allah yang lain juga mempunyai kasih sayang seperti ini. Tanpa mengenal spesies apa pun. Mari kita fikirkan satu perkaitan. Bukankah hebat kesan kasih sayang ini pada semua makhluk yang wujud di alam ini, maka sudah tentu MAHA HEBAT lagi Pencipta kasih sayang ini dan sudah tentu lagi tinggi kasih sayang yang ada pada Pencipta ini bukan? Sesungguhnya Allah itu maha hebat dalam segala sesuatu. Inilah tanda-tanda bukti yang menunjukkan kehebatan Allah pencipta segala yang ada di alam ini.
Mari kita renungi sirah terdahulu, mengenai kasih sayang yang wujud dalam kalangan sahabat-sahabat di zaman Rasulullah (selawat dan salam keatas baginda). Sahabat terdekat pada nabi kita, Saidina Abu Bakr (radiyallahu 3nhu), khalifah pertama pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin selepas kewafatan baginda tercinta, yang terlalu banyak jasa beliau dalam sejarah penyebaran dan pengembangan Islam keserata alam . Kita lihat, bagaimana sayang dan cintanya Abu Bakr pada rasulullah, mengambil satu kisah yang diketahui umum bahawasanya Abu Bakr merupakan sahabat yang senantiasa menjadi orang pertama yang membenarkan setiap kalam bait bicara Rasulullah. Beliau lah sahabat yang menemani rasulullah ketika mana baginda berhijrah pada waktu malam meninggalkan makkah. Beliaulah orang yang menahan sakit dipatuk ular ketika berada di dalam gua menemani rasulullah. Beliau lah orang yang menginfaqkan seluruh harta benda jiwa dan raganya kepada pembangunan dan penyebaran Islam. Sehinggakan terbukti keimanan beliau tidak dapat ditandingi oleh sesiapa dalam kalangan manusia biasa pun sekiranya iman mereka ditimbang dan dibanding beza dengan berat keimanan Saidina Abu Bakr. Ternyata keimanan beliau jauh lebih tinggi dari keimanan manusia lain(Rujukan hadith).
Bukankah ini merupakan kesan kasih sayang dan terlalu cintanya sahabat rasulullah ini pada rasulullah dan pada Islam? Ya, kita tak mampu menafikannya lagi!
Berbicara tentang sahabat pun sudah jelas pada kita akan perihal peri pentingnya kasih sayang ini dalam memberi kesan yang hebat dalam hidup manusia. Jadi bagaimana dengan yang membawa mesej kasih sayang ini kepada kita? Semestinya kita berbicara tentang Rasulullah. Kalau bukan baginda, sudah tentu Islam ini tak akan sampai pada kita hari ini. Dan kerana kesungguhan baginda dan sahabat-sahabat terdahulu, pemimpin-pemimpin Islam terdahulu bersungguh-sungguh membawa panji-panji Islam ini, pada hari ini Islam yang membawa mesej keamanan dan kasih sayang alam sejagat ini sampai pada kita. Dapat kita anuti meskipun kita mendapatnya dari keturunan. Seharusnya kita bersyukur kerana memperoleh nikmat ini.
Jadi bukti apa lagi harus kita bentangkan di sini untuk menunjukkan kepada anda akan kesan kasih sayang itu kepada makhluk sejagat? Sudah teramat jelas sekali! Dan pada hari ini, waktu ini, dunia Islam kita dikejutkan dengan kezaliman dan keganasan yang dilakukan terhadap ummat Islam seluruh dunia, secara khusus ditujukan kepada ummat Islam di Gazzah, Suria, dan Rohingya. Kerana apa semua ini berlaku? Bukankah tadi kita bicarakan bahawa setiap manusia mempunyai sifat kasih sayang? Ya, kerana sebahagian daripada manusia sudah hilang sifat kasih sayang ini pada mereka. Kerana mereka telah lari jauh dari Islam. Agama yang menekan dan mengajarkan tentang kasih sayang kepada penganutnya. Sudah tentu ini berlaku pada mereka yang bukan muslim kerana mereka tidak menganuti Islam itu sendiri. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang menganuti Islam itu? Adakah mereka juga telah kehilangan sifat kasih sayang ini?
Jawapannya terpulang kepada diri anda sendiri. Hayati Islam sebenar, kasih sayang yang teramat luar biasa akan dirasai oleh anda.
Ayuh cakna mengenai masalah ummat Islam yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini. Meskipun kita tidak dapat menyalurkan sumbangan tenaga mahupun sumbangan harta, kita masih mampu dan sentiasa mampu untuk menyumbangkan doa untuk mereka. #caknaummatislam
"Orang mukmin itu bagi mukmin yang lain seperti sebuah
bangunan, yang mengukuhkan akan sebahagian ke atas bahagian lain”. (HR Bukhari)
Sunday, October 28, 2012
Ujian
Bismillah.
Seringkali hati kecil mengeluh, ya Rabb, betapa banyaknya ujian yang menimpa diri. Seumpamanya setiap perkara yang berlaku tiada yang menyenangkan hati ini. Lalu diambil masa sejenak untuk berfikir. Sama-sama berfikir, apakah ini satu ujian yang hanya biasa-biasa ataupun ujian yang teramat berat? Kadangkala, jawapannya terlalu mudah, dan mungkin kadangkala jawapannya terlalu payah dan sengaja dipayahkan. Ini ujian kah atau suatu nikmat? Bilamana kita menjawap ianya sebagai ujian, bukankah ujian juga sebagai satu nikmat? Nikmat dalam bentuk ujian. Oh, jangan lupa, ujian juga ada ujian kesenangan dan kepayahan. Di kategori manakah kita? Hmmm...
Kalau hendak berbicara mengenai soal ujian kepayahan, soal semula diri kita, apakah ujian kepayahan yang aku terima ini, seberat mereka yang berada di Palestin? Adakah sesusah seperti mereka yang berada di Somalia? Ataupun serupa dengan mereka yang berada di Rohingya? Belum tentu kita dengan mereka serupa. Kan?
Ini merupakan salah satu cara untuk mempositifkan diri bilamana diri terasa ditimpa ujian kepayahan. Usah persoalkan mengapa kita diuji, tapi persoalkan bagaimana cara kita menghadapi dan menerima ujian tersebut.
Oh, ujian kesenangan, tak ramai juga sedar akan hakikat ujian ini. Bukankah Firaun juga begitu? Bukan sahaja tak sedar akan hakikat ujian ini, bahkan enggan mengakui akan hakikat dirinya yang tak punya apa-apa kuasa pada realitinya. Begitu juga pada diri kita. Usah membangga diri dengan hanya sedikit kesenangan yang kita perolehi hari ini. Esok belum tentu akan sama seperti hari ini. Siapa tahu? Mari kita renungi sejenak.
Berapa banyakkah kesilapan kita dalam menghadapi setiap jenis ujian yang melanda diri kita selama ini? Apakah anda sedar, saat ini juga kita sedang diuji?
29:2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
Saturday, October 13, 2012
Permulaan yang satu.
Sammillah.
Bismillahi Allahu Akbar.
Ingin ku coretkan sesuatu yang baru untuk kenangan yang akan datang. Tapi punyakah kekuatan utk ku terus istiqamah untuk itu? Biiznillah, akan ku cuba! Yang pasti, aku mahu berkongsi sesuatu yang bermanfaat, inshaAllah.
Subscribe to:
Posts (Atom)